Tuesday, 27 September 2016

KARIPAP PUSING

KARIPAP PUSING
Resepi Oleh : Chahaya Shiela

Doh A
1 cawan tepung gandum 
1 sudu besar tepung jagung 
2 sudu besar veg shortening 
2 sudu besar marjerin


Untuk doh A
Satukan semua bahan untuk doh A dalam bekas. Gaul hingga sebati. Boleh di kepal atau di bulatkan.
Kemudian bahagikan doh kepada 4 bahagian yang sama besar. Bulat-bulatkan dan ketepikan.

Doh B
2 cawan tepung gandum 
1/4 cawan minyak jagung 
1 sudu kecil garam atau secukup rasa 
1 1/2 cawan air anggaran ~ air ni tuang sikit-sikit


Untuk doh B 
Masukkan tepung ke dalam bekas dan buatkan kawah atau lubang di bahagian tengahnya 
Kemudian panaskan minyak, dan tuang minyak panas kedalam kawah tepung yang dalam mangkok tadi. 
Gaul rata dengan senduk atau sudu  AWAS MINYAK PANAS!!
Gaul sehingga ia menjadi serbuk roti.
Sementara itu garam kita bancuhkan bersama air hingga larut.
Tuangkan air garam  sedikit demi sedikit kedalam tepung sambil menguli.
Uli hingga sebati dan agak tak melekat di tangan.
Bahagikan doh B kepada 4 bahagian yang sama banyak dan bulat-bulatkan doh.


Canaikan satu bahagian doh B yang kita telah bahagikan tadi.
Letakkan satu bahagian doh A di tengahnya
Bungkuskan dan kemaskan padat
Kemudian di bulatkan, ketepikan
Ulang kaedah yang sama untuk baki doh-doh selebihnya.


Doh yang telah di satukan tadi, di canai sederhana ketebalannya. Tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.
Kemudian di gulung menjadi selinder yang panjang.
Kemudian di canai sekali lagi sederhana tebal juga.
Gulung semula menjadi selinder.
Ulang proses yang sama untuk doh yang selebihnya.
Kemudian doh ini direhatkan sebentar anggaran 15 minit agar ia sebati dan lembut.


Ambil satu bahagian doh dan potongkan kepada 6 kepingan
Ambil sekeping doh yang telah di potong dan canaikan bentuk bulat, sederhana tebal. Tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.
Jika nipis ia susah di kendalikan, mudah pecah semasa meletakkan inti. Jika tebal pula tidak enak pula untuk di nikmati nanti. 
Letakkan inti yang di sukai di bahagian tengahnya, jangan penuh sangat sebab takut pecah pula dohnya.
Lipat dan kemaskan tepinya agar tidak terbuka.
Klimkan kemas agar tidak terbuka semasa proses mengoreng nanti
Ulang proses yang sama hingga habis kesemua kepingan doh


Dah pun siap karipap kita.
Untuk satu adunan ini dapat menghasilkan 24 keping karipap pusing.
Jika nak buat frozen ada dua kaedah.

Kaedah Frozen 
1. Selepas siap karipap ni di klim terus susun dalam bekas kedap udara. Susun ia satu-satu dan jarakan supaya ia tak melekat-lekat nanti.
Tutup berkas kemas dan terus simpan dalam tempat beku dalam peti ais. Bila nak goreng nanti keluarkan sebentar, dan goreng dalam minyak yang betul-betul panas.

2. Kaedah ke dua pula, kita goreng dahulu setengah masak dalam minyak yang betul-betul panas. Goreng sekejap aje, kemudian anagkat. Susun dalam bekas kedap udara, dan simpan dalam bahagian beku dalam peti ais. Bila nak makan keluarkan biarkan ia lembut baru goreng semula.

Kaedah mengoreng 
Bagi yang nak makan terus, pastikan semasa mengoreng minyak betul-betul panas.
Cara mengoreng karipap pusing ni tak sama macam karipap biasa. Kalau karipap biasa minyak tak boleh panas sangat nanti ia mengerutu dan gelembung-gelembung permukaan karipap tu.. tapi sebaliknya karipap pusing kena goreng dalam minyak yang betul-betul panas supaya karipap ni cantik kejadiannya. Api tidak boleh terlalu kecil nanti karipap ni akan serap minyak yang banyak dan buatkan kita muak bila menikmatinya.
Goreng hingga ia kuning keemasan, kemudian angkat dan letakkan atas tisu dapur supaya minyaknya di serap.

No comments:

Post a Comment